[ TIPS ] - MENGATASI MASALAH KUAT MARAH PADA ANAK
Anak kita adalah cermin diri kita……..
Kanak-kanak dalam lingkungan umur 2-7 tahun (preschool memang sering dilabelkan lasak kerana ingin mencuba apa sahaja yang dilihat dan mereka juga didapati ‘tidak dengar kata’. Apa yang berlaku ialah ketiadaan komunikasi dua hala di antara ibu bapa dan anak.
Di samping itu kanak-kanak sebenarnya tidak dapat mendengar arahan dengan baik kerana tidak memberikan perhatian kepada suara ibu bapa. Sebaliknya perhatian mereka hanya tertumpu kepada permainan mereka dan alam sekeliling yang ingin diterokai.
Kanak-kanak mempunyai komunikasi verbal yang sangat terhad disebabkan mereka tidak mempunyai pengetahuan (input) tentangnya. Mereka juga baru sahaja belajar bercakap, oleh itu ibu bapa kerapkali tidak dapat memahami apakah sebenarnya yang dimahukan oleh anak.
Maka jadilah anak tersebut menjerit, membaling barang, memusnahkan permainan dan sebagainya lantaran frustration (kekecewaan) kerana hajatnya tidak difahami dan dipenuhi. Kanak-kanak pun tahu kecewa sebenarnya tuan/puan. Justeru itu siapakah yang bersalah? Sudah tentulah orang dewasa kerana tidak berusaha untuk memahami kehendak si anak.
Ada beberapa tips yang boleh diberikan untuk tuan/puan berusaha mengatasi masalah ini.
1. Kanak-kanak sangat memerlukan belaian kasih sayang dan perhatian dari kedua ibu bapa. Sekiranya bapa jarang mendampingi anak, sudah tentulah anak akan mengalihkan perhatian kepada ibunya.
Oleh itu cuba fahami bahasa anak dengan bertanya secara lemah lembut kepadanya. Tinggalkan sebentar apa yang tuan/puan lakukan dan berikan perhatian kepada anak. Pandang mukanya dan tatap matanya. Berapa kalikah dalam sehari kita bertentang mata dengan anak. Eye contact sangat penting di dalam apa-apa jenis komunikasi walaupun dengan anak kecil.
2. Sebaik sahaja tuan/puan pulang dari bekerja dan mengambil anak dari nurseri, luangkan masa setengah jam terlebih dahulu bersama anak. Jangan terus ke dapur memasak, angkat kain dsb. Berikan perhatian pertama tuan/puan kepada anak.
Tanyakan dengan lembut dan mesra apa yang dibuatnya seharian di rumah bersama bibik atau di nurseri/tadika. Dukung dan peluklah dia serta nyatakan di telinganya, papa/mama sangat sayangkannya. Bermain-main dengannya lebih kurang setengah jam, barulah puan minta diri untuk ke dapur dsb. Insya Allah anak akan lebih mendengar kata kerana perhatian yang diharapkannya telah diperolehi.
3. Ajarkan anak dengan perkataan “tunggu sebentar boleh” sekiranya anak perlukan sesuatu dan tuan/puan tidak dapat berikannya kerana sedang sibuk memasak dsb. Dan layanilah dia sebaik sahaja berkesempatan.
Jangan buat tak tahu sahaja atau bersikap acuh tidak acuh kerana sebenarnya tuan/puan sedang mengajar anak agar tidak menghiraukan tuan/puan sekiranya tuan/puan pula yang memanggilnya.
The right way to make her listen to you is by listening to her first. Kita tidak boleh expect anak patuh setiap arahan kita kerana Allah tidak menjadikan ia berlaku demikian. Ingatlah anak belajar dengan meniru setiap perbuatan kita. Buktinya boleh dilihat apabila dia melayani adiknya pula.
4. Cuba fahami personaliti anak. Setiap anak dikurniakan oleh Allah dengan personalitinya yang tersendiri. Anak yang suka menjerit walaupun tidak mempunyai apa-apa sebab boleh dikategorikan sebagai personality Sanguine. Anak ini memang sangat sukakan perhatian. Oleh itu jika anak ini menjerit, berilah perhatian kepadanya seperti memandang ke arahnya, bertepuk tangan sekiranya dia menyanyi dengan kuat dsb.
Walau bagaimanapun, tuan/puan boleh mengajarkan kepadanya bahawa perbuatan suka menjerit adalah tidak bagus kerana boleh mengganggu adik kecil yang sedang tidur.Sekiranya anak suka menjerit, tuan/puan boleh suruh dia mengadap dinding yang kosong dan menjerit di situ berulangkali sehingga dia letih.
Insya Allah dia akan kurang suka kepada menjerit kerana mendapati aktiviti tersebut memenatkan. Mungkin dia akan berhenti menjerit atau membuat perangai beberapa hari. Sekiranya dia mengulanginya semula, puan suruh dia lakukan perkara yang sama sehinggalah dia berhenti lama kelamaan.
Berikan dia hadiah (gula-gula dsb) jika tuan/puan dapati dia tidak menjerit atau semakin kurang menjerit dalam satu hari sebagai positive reinforcement. Katakan padanya, papa/mama beri hadiah coklat kerana kakak tidak menjerit hari ini. Dengan ini anak akan faham bahawa papa/mama tidak menyukai perbuatan tersebut.
5. Sentiasa ingatkan diri tuan/puan dengan sifat positif anak. Keletah dan karenah anak yang menghiburkan. Tumpukan perhatian tuan/puan terhadap kelebihan tersebut, jangan ingati kekurangan anak dan doakan setiap kali selesai sembahyang agar Allah memudahkan tuan/puan mengubah sifat negatifnya.
Bayangkan anak dengan semua sifat-sifat positif yang tuan/puan inginkan setiap kali tuan/puan berinteraksi dengan anak. Boleh juga tuan/puan berbuat demikian setengah jam setelah anak sudah masuk tidur dan nyenyak tidurnya. Usapkan dengan lembut di ubun-ubun kepalanya, cium dan bacakan selawat serta sebutkan harapan tuan/puan kepadanya.
Misalnya ‘papa/mama sayang kakak, papa/mama mahu kakak tidak menjerit lagi’. Sebutkan perkara spesifik yang tuan/puan mahukan. Jangan hanya menyebut ‘papa/mama harap kakak berubah’ atau menyebut dengan nada negatif seperti ‘mpapa/ama tak suka kakak menjerit’. Teknik ini dipanggil imagery atau visualization dan didapati sangat berkesan jika dilakukan berulangkali. Tuan/Puan juga boleh membacakan surah AlFatihah, Ayat Kursi dan 3 Kul kepada anak setiap kali mereka masuk tidur untuk memelihara dari gangguan syaitan. Tuan/Puan, mendidik anak tidak mudah apatah lagi di zaman globalisasi yang serba mencabar.
Semoga tuan/puan lebih bersabar, jangan ignore anak dan cubalah memahaminya. Fahami dunia anak yang tiada masalah, penuh keseronokan dan penerokaan. Bayangkan perasaan anak apabila dimarahi sedangkan apa yang cuba dibuatnya hanyalah meneroka alam sekeliling.
Anak-anak hidup dalam dunia yang tiada peraturan. Ibubapalah yang membuat peraturan, disiplin dan juga galakan kepada anak. Belilah buku-buku tentang panduan mendidik anak, mengenali personaliti anak dan cara-cara menghadapinya.
Sekian, semoga Allah mengurniakan rahmat dan kebijaksanaan kepada tuan/puan. Jangan berputus asa dengan anak kerana ia akan membuatkan anak berputus asa terhadap kita sebagai ibubapanya.
Info dikongsi dari : My Kewpies Outlet dan Excel Qhalif
Saya copy paste je ye...terima kasih atas info ini, dan saya simpan di sini untuk rujukan saya pada masa akan datang. Insya'Allah...
Hepi besday to me!
1 year ago
No comments:
Post a Comment